TEKS KHUTBAH DARI LAMAN RASMI JAKIM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“ TETAMU
ALLAH PADA HARI JUMAAT ”
(9 SEPTEMBER / 11 SYAWAL 1432H)



Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan
dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan
pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Kita baru sahaja meninggalkan bulan Ramadhan
yang telah mendidik diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Mudah-mudahan pada
bulan yang penuh kebahagian ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan
akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah: “TETAMU ALLAH PADA HARI JUMAAT .”
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Hari Jumaat adalah
penghulu segala hari atau disebut juga sayyidul aiyyam kerana
mempunyai kemuliaan dan keistimewaannya di sisi Allah SWT. Bagi umat Islam hari
tersebut adalah yang amat berharga dan hari untuk beramal ibadat bagi merebut
kelebihan penghulu segala hari. Berdasarkan penjelasan hadith-hadith, hari Jumaat
adalah hari pertama kemunculan matahari di dunia, pada hari Jumaatlah Allah SWT
telah mencipta Nabi Adam AS, hari Kiamat
akan berlaku dan Allah SWT mengizinkan ahli syurga untuk memasuki syurga.
Manakala para malaikat pula menamakan hari Jumaat itu sebagai hari penambahan
disebabkan banyaknya pintu-pintu rahmat dibuka di mana Allah SWT akan
melimpahkan kurnia-Nya dan menabur segala kebaikan-Nya.
Hakikatnya
menjadi tetamu Allah SWT pada penghulu segala hari adalah saat yang istimewa kerana memberi peluang kepada
sidang Jumaat untuk menilai prestasi tahap ketakwaan, membersihkan segala dosa
yang dibuat secara sedar atau tidak dalam seminggu ini. Kita perlu sedar dan
insaf bahawa walaupun pada zahirnya penampilan diri kelihatan cemerlang tetapi
dari segi batin orang-orang yang melakukan perbuatan berdosa seperti rasuah,
menzalimi manusia, menganiayai manusia, memfitnah manusia, minum arak, berzina dan
sebagainya bagaikan berada di tempat yang kotor dan diselaputi dengan najis.
Malah apa yang menakutkan kita ialah meninggal dunia dalam keadaan berdosa,
tidak sempat bertaubat dan mati dalam keadaan kufur.
Oleh itu wahai sidang Jumaat sekalian insaflah
dan sedarlah bahawa untuk keluar dari tempat yang bernajis atau kotor itu, maka
salah satu caranya ialah kita mesti meninggalkan, menjauhi tempat yang bernajis
dan mestilah mencari tempat yang suci iaitu sentiasa menjadi tetamu Allah SWT
khususnya di masjid serta berdamping atau bersahabat dengan orang-orang soleh. Kemuncak
ibadat bagi tetamu Allah di masjid ialah mendengar dua khutbah dan solat fardhu
Jumaat. Firman Allah dalam surah al-Jumaah ayat 9:

Sidang Jummat Yang di Rahmati
Allah
Perjumpaan tetamu Allah setiap
minggu di atas rumah Allah mampu membaiki keimanan dan meningkatkan
persaudaraan sesama muslim dan perpaduan ummah. Dalam peluang inilah umat Islam
berkesempatan membincangkan isu-isu yang dihadapi dalam mencari kata sepakat. Oleh
kerana besar pengaruh perjumpaan tetamu Allah ini, maka sesiapa yang
meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur yang dibenarkan
syarak maka mereka ini dikira sebagai orang yang lalai. Rasulullah SAW bersabda:


Maksudnya: “ Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali
berturut-turut tanpa uzur, Allah akan menutup mata hatinya.(Riwayat al-Nasa’ie)
Apa yang
dimaksudkan uzur syarak ialah seperti
hujan lebat, sakit, menjaga orang sakit, ancaman keselamatan dan uzur-uzur yang
lain. Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumudin: pada malam dan siang hari
Jumaat ada sesaat yang mulia di mana segala permohonan doa akan dimakbulkan.
Saat yang mulia itu dirahsiakan. Siapa meninggal dunia pada hari Jumaat atau
malam Jumaat, maka Allah mencatat untuknya pahala orang syahid dan menjaganya
dari azab kubur. Manakala amalan-amalan sunat pada hari Jumaat seperti bangun
pada malamnya untuk melakukan qiamulail, sujud syukur, berzikir, beriktikaf dan membaca al-Quran seperti surah al-kahfi, Yaasin, Sajjadah
dan al-Mulk sebagaimana
hadith Rasulullah SAW:

Bermaksud: “Barangsiapa
yang membaca surah al-kahfi pada hari Jumaat nascaya Allah akan menerangi
cahaya yang akan menerangi dirinya antara dua Jumaat”.(Riwayat al-Bukhari)
Pada pagi
Jumaat disunatkan bagi kita membersihkan diri dengan melakukan mandi sunat,
bersiwak, memakai pakaian yang baru dan wangian. Kita juga digalakkan memperbanyakkan
selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW pada sepanjang hari tersebut. Kita
hendaklah bersegera ke masjid atau sekurang-kurangnya sebelum tergelincir
matahari atau sebelum masuk waktu zohor. Di sunatkan kita berjalan kaki ke
masjid dan setiap langkah itu dikira sebagai penghapus dosa. Mereka yang datang
paling awal ke masjid akan mendapat pahala yang besar digambarkan seperti
mendapat seekor unta. Ketika memasuki masjid hendaklah melakukan sembahyang dua
rakaat walaupun ketika itu Imam sedang berkhutbah. Di waktu Imam berkhutbah
hendaklah kita memasang telinga
mendengar segala yang disampaikan dan mematuhi nasihat yang diberikan
oleh khatib. Hadith Rasulullah SAW:

Hari Jumaat
adalah hari yang penuh keberkatan. Bagi mengambil peluang keemasan ini, maka
mimbar menyeru sidang Jumaat sekalian, marilah kita menjadikan dan membudayakan
bersama keluarga dan anak-anak kita dengan memuliakan hari Jumaat sebagai
penghulu segala hari, mudah-mudahan dengan cara ini ianya mampu memperkukuhkan
institusi keluarga dan memantapkan keimanan anak-anak kita. Ini adalah amalan
para nabi, wali-wali dan orang soleh. Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian mimbar,
oleh kerana kesibukan urusan dunia dan pengaruh sosial, kadangkala menyebabkan
kita lupa tentang kemuliaan hari Jumaat. Malah apa yang menyedihkan kita ialah terdapat
di kalangan umat Islam menjalankan pula aktiviti pada malam dan hari Jumaat
yang menyemarakkan lagi gejala sosial.
Mengakhiri
khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sidang jemaah dan seluruh umat Islam
sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita dengan mengamalkan
segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ingatlah bahawa
kematian akan datang bila-bila masa, tiada siapa pun yang dapat meramalkan
berapa lama tempuh hidup seseorang. Orang muda tidak boleh yakin bahawa dia
akan hidup lama kerana semua orang tahu kematian itu tidak bertarikh, bayi
dalam kandungan pun menemui ajal sebelum dilahirkan dan kesihatan yang dikawal
rapi pun tidak akan memanjangkan usia seseorang. Oleh kerana ajal itu datang tanpa memberi tahu terlebih dahulu,
maka sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita agar sentiasa bermuhasabah
tentang kehidupan ini. Rebutlah peluang untuk
membersihkan diri dan bertaubat pada penghulu segala hari dengan menyiapkan
diri dengan pakaian dan hati yang bersih sebagai persedian menjadi tetamu Allah
pada hari Jumaat yang mulia ini. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah
SWT dalam surah al-Jumaah ayat 10:


Ulasan