USAHA TANGGA KEJAYAAN - SEJAUH MANA BENARNYA PEPATAH INI?

Assalamua'laikum wbt.

Bissmillahirrahmanirrahiim..

Saya harapkan agar kalian didalam tenang serta dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Kesihatan yang baik serta selalu didalam landasan yang betul.

Hari ini saya ingin berkongsi pendapat saya mengenai tajuk di bawah ini;

Tajuk : Usaha Tangga Kejayaan - Sejauh Mana Benarnya Pepatah Ini?
Tarikh : 27.10.2013

Masyarakat hari ini makin sedar betapa hanya dengan kuat berusaha dan tanpa jemu, seseorang itu akan mendapat mencapai apa yang dihajatinya. Jarang sekali yang berusaha gigih tidak mendapat balasan setimpal dengan usaha yang dilakukan. Suka saya mengambil contoh seorang anak muda di kampung yang berusaha merubah persepsi masyarakat setempat dengan bekerja sebagai petani. Memang tidak dinafikan dalam jiwa belia masa kini yang berpandangan materialistik semata-mata dalam memenuhi nafsu kebendaan. Amat payah bukan untuk mencari anak muda yang melakukan kerja-kerja kampung dewasa ini. Teringat saya dengan satu pepatah melayu yang berbunyi 'kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'. Pepatah ini amat sesuai saya kira dengan usaha yang gigih sahaja akan membuat kita cenderung untuk berjaya.

Bekerja dibawah terik matahari, membajak bersama kerbau bukanlah satu pekerjaan yang sinonim dengan anak muda. Barangkali ramai anak muda yang lebih rela melepak, membuang masa sambil bermain gitar di persimpangan jalan kampung. Ironinya, kehidupan seorang yang kuat berusaha akan menghasilkan benih semangat kental, hidup berdikari dan sifar menyusahkan ibubapa yang meniti usia senja. Impian anak muda yang punya masa hadapan adalah lebih baik dari yang kaya tanpa ada usaha. Kehidupan kais pagi makan pagi sebenarnya akan menyebabkan diri anak muda sentiasa cermat berfikir cara-cara yang positif bagi meningkatkan ekonomi dalam kehidupannya

Dari membajak, menanam anak padi mengajar diri untuk sentiasa tenang disamping melengkapkan diri dengan pengetahuan berkenaan bidang serta memupuk kesederhanaan dalam diri. Hidup anak muda tidak lengkap sekiranya, hanya bergantung kepada orang tuanya. Bila padi menguning, senanglah hati anak muda dan hanya menunggu padi cukup tunduk untuk dituai hasil. Jika padi yang ditanam dengan penuh hemah dan kasih sayang, ia akan membuahkan hasil yang gebu. Sekiranya, tugas menjaga sambil lewa, hasil padi sedikit dan banyaknya rosak serta tiada kualiti. 

Hasil padi yang baik akan melalui proses pengredan yang akan menentukan harganya. Jika baik buahnya, makin mahal harganya. Bukankah kita gembira dengan penat lelah kita membanting tulang dan hasil yang baik inilah yang menjadi kayu pengukur kepada usaha yang kita jalankan. Adapula anak muda zaman sekarang yang mana tinggal diandar-bandar besar yang melalui proses yang sama, tetapi tidaklah bercucuk tanam. Tetapi, anak muda sekarang lebih gemar bekerja dibawah penyaman udara, melepak di warung-warung mamak sambil membakar rokok. Anak muda dibandar suka bermegah-megah dan cukup terkenal dengan pepatah ini 'biar papa asal bergaya'. Nah! apa yang anak bandar dapat sekiranya mempunyai tabiat begini. Mahu berkereta besar, gaji besar, teman wanita, dan suka berbelanja melebihi kemampuan. Esok lusa bila jatuh papa langsung gila kerana tidak tahu bagaimana cara pantas untuk menjadi kaya!

Tidak kurang antara anak muda dibandar yang hidupnya ibarat pemuda dikampung, tapi agak berbeza sedikit. Golongan ini saya sebut sebagai miskin bandar. Belajar malas dan tidak peduli akan masa depan. Kata mereka, asalkan tidak menyusahkan orang sudahlah. Itu kata mereka, tapi pada saya itu bukanlah alasan yang baik. Lihat sahaja tempo kehidupan kita zaman ini yang menjadi punca mereka berkahwin pada usia lewat gara-gara tidak berkemampuan untuk melamar anak dara orang. Beratus ribu yang ditahan pegawai agama atas alasan bersekedudukan kerana tidak mampu. Adapula yang ditangkap gara-gara melakukan hubungan seks dengan perempuan bawah umur Tidak kurang yang duduk serumah berperangai seperti suami isteri tanpa ikatan pernikahan yang sah. Inilah golongan yang menggelar diri mereka sebagai bohjan, bohsia dan pengkid. Nau'zubillahiminzalik...

Beberapa kenalan saya yang bekerja di bidang swasta sering merungut atas dasar-dasar kerajaan hari ini yang melebih-lebihkan kakitangan awam dapat pemberian bonus dan beberapa insentif. Tidak pula dinyatakan apa yang akan diberikan pada kakitangan swasta. Kata mereka, kami telah bersama-sama membangunkan ekonomi negara dengan pembayaran cukai. Kebanyakkan dari pekerja swasta bekerja dalam serba kekurangan. Kenaikan gaji tidak berkala, masalah ekonomi yang kadang-kadang menghalang dari mereka merasa usaha yang dilakukan sebelum ini. Keadaan hidup hari ini adalah lebih sukar dari kedatangan pihak Jepun di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Dengan pengenalan cukai-cukai baru, kenaikan harga barangan asas, komoditi serta penarikan subsidi semakin menekan pekerja-pekerja swasta dalam mengharungi mehnah hidup yang makin suram. Sekarang ini bukanlah masa yang sesuai untuk menuding jari lagi.

Bangunlah anak muda sekalian, sekalipun engkau merasa susah untuk hidup dalam suasana sekarang ini. Janganlah engkau lupa sesuatu yang enteng kerjanya tetapi bernilai tinggi jika diusahakan dengan penuh tanggungjawab. Apakah yang saya maksudkan? Iaitulah bidang pertanian, perladangan, perikanan dan keusahawanan. Cuba lihat kiri dan kananmu, bangsa lain mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan hanya bercucuk tanam. Padahal, kita kaum melayu hanya menjadi pengguna yang berskala besar. Pernah saya mendengar istilah ini 'Pertanian adalah Peniagaan'. Mendalam maknanya, tapi jika kita berusaha, kuasa ekonomi akan bertukar tangan dan kitalah yang akan menguasai pasaran global. Cuba bayangkan sekiranya kitalah taikun dalam bidang pertanian, perladangan, dan perikanan. Bukankah itu suatu perkara yang baik bagi menjamin kemaslahatan ummah? Kerajaan pun tidak mampu menghalang kita dalam menentukan harga pasaran. Tetapi, sekarang ini sangat jelas di depan mata kita yang kitalah umat melayu hanyalah pengguna dan pembeli. Kita merungut dengan kenaikan harga barangan tapi kita sendiri tidak berani berubah dari bekerja dalam pejabat beralih bekerja dibawah terik matahari. Kita makin manja tanpa usaha gigih. 

Sudah-sudahlah merungut kalau diri malas untuk merubah masa depan. Kenapa bangsa lain boleh berjaya, kaya-raya dan mampu menguasai pasaran sedang kita masih bergolek diatas tilam. Kejayaan tak akan datang bergolek jika diri malas berusaha. Kalau saya mampu memajak tanah akan saya menanam sayuran, akan saya jual di pasar-pasar dan kedai runcit. Aku tidak takut berubah, dimana aku dicampak disitu akan kusemai diri dengan berdikari. Aku engkau dan semua bukan anak manja yang perlu dibelai dengan subsidi. Tapi kita semua adalah bangsa yang terkenal berdagang. Jika takut dilanda ombak, jangan berumah ditepi laut. Jika takut berubah, jadilah engkau kekal dibawah tempurung nyior.

Akhir kata, ingin saya mengajak tuan puan supaya menghargai masa dan kudrat yang diberikan Allah dengan melipat gandakan usaha kita dalam meningkatkan ekonomi keluarga, masyarakat dan agama kita. Jangalah kita mengeluh dengan karenah manusia zaman ini. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Kita takkan kuat kalau kita kekal dalam buaian, kita akan kuat kalau kita bangun dan berjuang di jalan Allah. Betulkan niat dan mara kehadapan. Jangan biar kita dipijak bangsa lain ditanah air kita ini.

Sekian,

Terima kasih

MOHD TAUFIQ BIN MOHAMED
SIMPLE BLOGGER
27.10.2013

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

WANZA CAMP, BESERI, PERLIS

KPTM Bangi - Warkah untuk dibaca!

PAMPASAN INSURANS - SIAPA LEBIH UNTUNG?